6/11/2026

 

Kelapangan dan kesempitan. Rasa seperti diharung, menghimpit. Terlepas keluar dari buana tapi pulang dengan khabar rahsia. Muhammad pulang membawa syariat. Relativiti menunggang al barqi.


Pesan para abdal, dipanggil masuk ke sidang.

3/24/2026

Prahara

Prahara

Nafas kencang seperti petir yang ditala malaikat ketika menata kerezekian. Pintu, masuklah mengikut pintu Muhammad.

Prahara diri.

Alang sudah terlanjur. Terlepas keluar dari buana dan pulang dengan khabar rahsia. Pemaknaan sudah tidak sama. Futuh dan ahwal atas izin, masih jauh. Murobbi, masih jauh. Diri tergoncang kerana dugaan kekinian yang bukan kecil anak. Hambatan nilai nyata ketimbang alam syahadah diadili pada diri zahir dan diri batin. Tetapi sirr, masih di padangNya.

Prahara malam senandung al-qadar
 
Seribu malam - sehingga ke sepuluh ribu malam, apabila pejam mata terlena mimpikan negeri alastu. 


Prahara zaman.

Alang berat teruji, niat hendak sampai melewati balai maqamat. Tapi ketahuilah sidi, hendak kehendak adalah hijab paling hijab.

4/05/2023

Batas kurnia

 

Pada batas firasat yang terbungkam, jalan mungkin buntu tapi keberserahan tidak. Pemikiran mimpi dan angau dalam rentang aksiomatik hendak dipimpin pada rentak modeniti ini menghantar kau separa gila.  Denyut-denyut ketinggalan masih ada, tapi kepasrahan lebih besar. Sekadar merajut luka-luka pada urat darah kenangan. 

Menanggung tadbir roh dalam hijab jasad ini berat. Tapi kau jalani. Pembendaharaan dia masih luas untuk ditemukan dan ditebus. 

Menuju ke malam-malam likur, ada niat kecil mengharapkan ia macam sebelum-sebelum, magis macam kota fez, mistik macam kota tarim.

Salam ramadan.

12/24/2022

Desember

 

1. Pukul 1.30 pagi orang tak mampu nak bersenyum di lampu trafik. Masing-masing penat mengenderai nasib, mengenderai makanan. Setiap kali itu kau menadah halus nada kesal dan menguji yang rahman. Hujan renyai, hujan melebat. Bila ar-rahim mengetuk sampai, baru kau sendiri terderai, lebih lebat meluru air dari kelopak mata.

2. Hedon dulu, bayar kemudian sebenarnya memakan diri. Bukanlah fomo atau apa kejadahnya, tapi sekadar merakam zaitjis/semangat zaman. Sahabat kahfi pernah tenggelam tidur merentas zaman, kau pula menyakinkan diri mungkin inilah kerja-kerja sohibul waqtu. Yang empunya waktu.

3. Ideologi dalam muzik, ruangnya di dalam atau diluar sebuah permainan, yang ingin transendental atas nama kemanusiaan/manusiawi, canggih tapi lambat sampai. Kuat sangat melarut dalam diri dengan makna pembebasan.

4. Tidak setuju pada t-shirt hari ini hidup atau sekadar wujud sebagai statement di tanah perkuburan.

4. Orang baik-baik, memang takdirnya balik awal. Dia punya baik, macam kau menunggu dia akan hadir  untuk acara pengkebumian ini kerana selalunya begitu dirinya kepada sahabat handai. Dalam mengelamun yang tersedar bujur kaku itu adalah mamat ni sendiri. Terima kasih Azhar jemput aku menyambut kau pada usungan keranda, rapat di sisi kepala, dapatlah aku menumpang cahaya.

10/24/2022

Suasano

 


1. Dalam bahasa buah tempur, tunggu kena; masuk pun kena.  

2. Muhammad dari tanah bangsa adam, tiada masalah. Boleh, tapi janganlah berlama-lama. Dan ketahuilah, Muhammad ciptaannya dari cahaya, itulah sebenar-benar anarki.

3. Perbualan serius dalam lingo resepi berkenaan pastri jerman-austria. Dough bentang selebar meja kan? Betul, dough bentang selebar meja, kata seorang chef pastri sambil menghembuskan asap rokok. 

4. Sambil potong sayur, sambil uli tepung sambil dengar syarahan atas talian tentang luhmann. Macam satu kontinium tapi latar lagu perpisahan terasing - KRU.

5. Siapa sangka blues boleh jadi lebih berat dari metal?

6. Dua gelas chai kedai pakistan, nafas pendek rasa macam nak merangkak balik rumah, menung melihat bulan 15 Melayu, sesuai untuk dengar kazuki tomokawa. 

7.  Ikiterutte Ittemiro

8/20/2022

Bangsat tereh

 

1. Orang terengganu panggil bangsat tereh. Bangsat paling bangsat. Ada banyak masa tiada duit, tapi kau rasa kaya. Macam gelandangan, cuma berjalan dengan titik buta, dua tiga detik ada kenyataan datang merempuh, sakit-sakit tapi bohlayan. Kau jumpa al-ghazali sekali lagi kali ini dan menertib rahsianya. Kau bertanya, setelah ia hilang dan meluput seketika selama putus asa, masihkah kau simpan, alat sederhana di dalam kepala kau itu, untuk terus menerka?

2. Bawa keluar dia, ke hadapan kau, lembaga hitam pekat likat, lembaga kezaliman, lembaga kecurigaan; dia yang beri kau kegugupan, gementar dalam diri. Panggil dia, jelaskan di hadapan kau biar dia berdiri selaras mata. Kalau sudah nampak terkeluar, kau libas dia. Biar sampai dia menari-nari kesurupan sampai terderai.

3. Walaupun sekadar lauk taugeh dua ringgit, kau sengih dan taslim. Inilah barang yang paling sedap dikenang pada ulang tahun hari lahir. Umur ini seperti yang kau bayangkan sekian tahun lalu, kau memulakan semula kehidupan membuat roti dengan yis masam.

7/08/2022

zahir dan batin

 

Merintis semula selepas patah balik adalah pengalaman pahit-debar-sober dalam denyut nadi nafas sehari-hari. Kau berdebar mencari fungsi dengan possesi terhad, apa yang ada-- kepala hotak dan poket kosong. Dan kau sengihkan pada penghujung hari, lelaki memburuh kasar, berkecah basah dihadapan sinki, gig ekonomi kepala bapak sehingga lewat tengah malam dan kau telah menjadi lelaki itu. Maka, dalam taakul dan perjalanan harian A ke B yang kau ulang setiap hari, dalam alun battle cry yang sama, kau bertanya pada diri adakah ianya sebuah data, perenungan ataupun adakah ianya sebuah nasib?

Dunia yang kau jumpa dan baru jumpa semula sekali ini terasa sangat besar. Tapi jiwa kau kembang dan kuncup sekaligus. Apabila nafas kau telah lelah melampaui persoalan epistemologi. Jawapan telah siap.

Keroncong untuk Ana lebih sedap apabila didengari semula.   


8/24/2021

nota tertunda

 

Siapa dapat menyangka, masa telah terjeda 500 hari lamanya. Langkah dan apa kau rancang-rancang telah masuk ke dalam tong sampah. Hari ini dia sudah sampai ke muka pintu, bersila di dalam rumah. Kau cuba fikir dalam-dalam, menelisik diri. Kau sudah menyapanya hari sebelum, kau tidak tahu hari ini atau lusa dia jembalang yang minta bertenggek.

Dan bertanya, kucing-kucing ini hendak makan bagaimana? Jurnal catitan peribadi akan dikumpulkan untuk dibakar, orang tua tidak akan tahu dan tidak perlu tahu khabaran ini. 

Sampai masa kalau kita akan balik ke sana, di pulangkan semula al-hayat ini.

Salam, saudara-saudari, informed travellers.

10/27/2020

 

1. Sedang dalam hambatan masa, peluang dan perseverence.

2. Tak ada duit lebih untuk beli biji kopi untuk diseduh. Kapal Api mungkin macam okay-okay seperti selalu. 

3. Dalam sebuah commune, dia menyebut nama sahabatnya, katanya, kami akan terus memperingati dia, dahulu dan kini. 

4. Membayangkan, dalam idealisme komunis tua ini ketika dia masih muda, nostalgia long march semenanjung Tanah Melayu, mengelak peluru askar pemerintah.

5. Tentang nombor (1) juga boleh diselit persoalan, bahawa dalam tingkat ini, adakah masih ada harapan? ketidaktentuan ini barangkali rentangnya akan lebih panjang. Beberapa kontigensi perlu difikirkan, ailleurs j'irais ailleurs.

6. Kesilapan dan kenaifan pendapat yang ditolak mentah dan diperbudakkan. Kau kena cepat, dalam lintasan fikiran, untuk tidak membenarkan mat london atau mat europe sekalipun definisikan kebodohan kau. Tafsirkan keangkuhan itu dengan dendam paling sederhana.

7. Yang lain-lain, yang kau temukan dalam artikulasi suara sendiri. Bila ia keluar ke ruang awam, sambil sedang mengugut dengan belati di bahagian tenggorokan.

8. Kucing yang pada siangnya penat bermain, kemudian ia mengigau, seperti sedang tergelepar bermimpi menyelamatkan diri di dalam alam kucing steampunk agaknya. Kepada seekor kucing yang sedang cuba untuk nyenyak semula, pernahkah engkau menyelimutkannya? 


8/23/2020

Nota belated hari lahir dan bulan Ogos


1. Setahun lepas, Ogos 1, saya pernah terlupa ingatan selama tujuh hari.  

2. Kecewa sendiri dan redam yang tak terbahasakan.

3. Kebenaran (sekurang-kurangnya dalam fikiran kita), bukan satu masalah apabila ia diboloti dalam artikulasi orang lain.

4. Past and language.

5.

6. Hujung minggu, tiga hari dua malam di neraka yang lain-lain.

7. Jembalang mediocrity datang bertenggek mempersoalkan self worth dan self recognition.

8. Nota mental terhadap pembacaan sebuah teks: Teks ini perlu dibaca sekali dengan Al-Asr.

9. Motosikal rosak, lesen tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh. Baiki motosikal sebagai jalan menjadi punk yang pragmatik. 

10. Dua biji peronda trakfik, berhenti sebelah di lampu trafik, jarak bahu ke bahu kurang tiga kaki. Kuncinya adalah keyakinan.

11. Keroncong untuk ana - Yuna & Qi razali hit differently selepas 8 tahun apabila mendengarkannya semula.

12. Kesedaran kepada meningkatnya umur, adalah sekaligus kesedaran yang memperkirakan untung rugi nasib. Melihatkan rakan-rakan bergelumang dengan entiti sosio-material, dekat di sudut hati, saya seikhlasnya turut berkongsi kebahagiaan melihat mereka.  

13. Mungkin juga imbangan pesisme sekadar cuma mahu hidup sehingga umur 32-an dan keinginan  untuk terus hidup tanpa rasa diri adalah seorang exceptional dan masak nasi briyani untuk mengembirakan hati. 

14. Bercakap tentang nasi briyani, ada beberapa faktor yang mempengaruhi nasi briyani. Perlu diperhatikan gaya tumisan awal dan juga perlu guna minyak sapi berkualiti to which lebih mahal.

15. Ulangtahun perkahwinan orang tua buatkan saya terfikir kemampuan emotion endurance dan biological economic demand terhasil daripada sebuah reproduksi. Ia adalah sama ada anda go full Mahathir atau tidak. 

16. Sekali lagi, berdamai dengan kesilapan, ketakmampuan, sloppyness hidup yang grun-gei. Selamat hari lahir, wahai diri.




6/30/2020

Juli hidup semula


1. Dalam diam, kau berharap dunia sedang hard reset. Tapi kemudian kau sedar ia tidak okay, kerana dalam diam kau mahu dunia terus bergerak walaupun tanpa kau. Lebih kurang 15 hari dalam solitude, kau boleh dengar suara dalam diri, dan detak jantung yang lebih kuat. Kuat sehingga menggangu ketika ia lebih kencang sewaktu kau ingin mulai lena. Teguk ubat batuk. Sehingga kau mulai berjumpa semula manusia lain, dan kau menyedari ada yang telah miliki preskripsi ubat penenang daripada kegilaan.

2. Di hujung-hujung, kau mulai ingin waras semula. Alter survival baru nak kick-in.

3. Beberapa jenis rejim diri dan bentuk seni yang dapat dikuasai sepanjang dunia berhenti daripada pergelutan mandiri, ekonomi seharian dan masa hadapan seperti tidak kelihatan.

4.

5. Kata M.Nasir, minta terbang lepas dari sarang buana ini.

6. Pasang kekuda kaki di dalam barisan sebagai seseorang yang memiliki kepahlawanan penjarakkan sosial; demi sepinggan salted egg fish n chip di Ikea.

7. Merindui atmosfera eerie lorong-lorong rak pasar raya, membelek bijirin dan kadang kala rempah ratus dengan lebih teliti, cuba berkira-kira yang mana agaknya sedap dimasak dengan daging kerbau india.

8. Menerima foto tangan yang sedang mempamerkan sebuah buku berjudul unbearable lightness of being di malam hari raya.

9. Perfomative humility, kesantunan video memasak yang menculik kesedaran, transaksi ketepatan moral dalaman saduran ihsan seorang melayu dengan satu view, satu share, likes dan subscription.

10. Iya, tahu young hot blooded salafi, tapi chill-chill.

11. Antal hadi antal haq, laisal hadi illahu.

5/09/2020

Beberapa nota terpilih pengurungan diri


1. Bau.

Bau di malam-malam Ramadhan, bau aroma panas teh wangi kampung, bau masam kari semalaman yang dipanaskan semula, bau peluh lelaki tua yang sebati dengan wangian atar, bau sebuah tempat bernama Bagan Ajam. Bau menghantar suatu ingatan visual kerinduan yang perseptif dan melarakan. Persoalannya bagaimana dan bilamana waktu lagi untuk mengecap nikmat itu?

2. Perlu tulis email dengan menggunakan kata kunci unprecendented times.

3. Kau berada di dalam wilayah antara wilayah berbatas kekuasaan. Dari poin A hendak transit ke poin B. Kedua-kedua poin adalah wilayah tanpa belonging bagi kau. Ketakstabilan power play, legitimasi autoriti yang berubah wajah membuatkan kau tewas  permainan timbal balas komunikasinya. Aktor-aktor sekatan jalan raya. Normal baharu yang membuatkan masyarakatnya berubah menjadi patologikal dan menjantan. Negara bangsa yang membulat dan masculinize. Menjadi stockholm kepada aturan kebangsaan.

10 hari pertama anomie ini, paling ribut selepas detik eksistensial terjaga tercungap-cungap daripada tidur yang tidak nyenyak walaupun setelah seteguk dua ubat batuk. Rasionalisasi dalam kepala masih simpang siur.

Cuma sekali ini, tinggal setengah jam sahaja sebelum curfew, dalam fikiran kau kekalutan punca untuk pulang kemana, petir bersabung, nasi gulai air hujan, seluruh keputusan hidup yang celaka, terpalit simbahan lima saat kenderaan datang dari sisi, terminum air lopak jalan.

Kau snapped. Kau rasa hendak berhenti dan berbaring. Dalam hujan. Tepi jalan.

Untuk memikirkan semula apa sebenarnya kau patut buat dalam hidup ini, jual buah jambu atau tebar roti canai.










3/11/2020

2020


1. Apabila kau kehilangan keinginan, keghairahan yang lelah untuk sebuah pengejaran pada kebenaran yang melanggar tembok. Ianya sangat depressing bila memikirkan untuk jadi apa sebagai penerus kehidupan. Hilang punca/lost cause.

2. Pembuktian kepada diri, pembuktian kepada diri. Menuju non-grata.

3. T. Alias Taib pernah menulis, di waktu malam, sebelum mata terpejam, kugalas seberkas luka di belakangku, kuheret darah yang menitis, meniti batas berduri. Di subuh pekat, sebelum fajar menggeliat, kukumpul dan kuikat serpihan mimpi kupikul merempuh kabut;

untuk satu kembara lagi.

4. Bayangkan saya telah berhenti menulis di jurnal setahun lamanya. Anekdot penting berkaitan kegusaran yang ditelan tanpa refleksi semula. Begitulah ketika suara-suara di dalam diri mulai hilang.

5. Ketika nota ini ditulis; demikian dosa-dosa Mahathir yang datang dalam bentuk jembalang modeniti menghambat pensejajaran semula politik melayu.

6.  Jenaka tentang pemain api gasolin yang masih berjalan selepas dua tahun peristiwa tepi pantai. Mungkin ia mempunyai tempat istimewa di dalam hatinya. Mengikut resam congruency, bersetuju untuk saling berhutang kenangan.

7. Ve mesafe sadece sessizliğe neden olduğunda.

8. Patutnya hidup diredakan dengan berserah kepada pengakuan mediocrity dan to err. Tidak menuntut nyawa dan kesedaran sebagai taruhan. Manusia yang lemah dan berbatas. Begitulah ketika meyakinkan diri sendiri, lewat perbualan dinihari kepada seorang rakan yang mengusulkan cadangan mengambil nyawanya. Dia bukan berseloroh. Saya tahu perasaan itu, tiga minggu sebelum itu lagi. Tak tertanggung ilmu dunia, kesedaran dan kekeliruan ini. Tidak berbahasa.

9. Jam 5.25 pagi, untuk satu kembara lagi.

11/06/2019


1. Hidup terlalu gila babi, dalam pergelutan renung fikir tentang alam-melayu-kapitalis-agama-negara untuk-memaknakan diri-kadang kala melawan eksistensial moral yang-cuma ingin kaya-memiliki sebidang tanah, sebuah sedan mewah dan berjoli katak.

2. Sudah tumpul fikiran untuk sebarang lanjutan terhadap analisis sosial.

3. Menyangkakan telah berdamai dengan diri yang gagal untuk keluar daripada banaliti-- rupanya belum lagi.

4.

5. Ada hari saya menemukan ilham di bawah pancuran mandi, dan ada hari mulai kebuntuan hidup yang total dan ingin menjalani kehidupan membuat roti sourdough sehinggat akhir hayat.

6. Limbo bulan Oktober.

7. Tentang nombor (5), apabila di penghujung hari gagal memahami debat-debat teori sosial, A mengata B, B kutuk C dangkal. Tapi ada apa dengan A, B dan C? Perasaan diri (perasan diri) adalah seorang yang exceptional memakan diri apabila lebih mudah kalau berhenti berfikir dan makan nasi.

8. Sheila Majid - Sinaran adalah lagu pop-kota (city-pop) ketika memandu di tengah malam, di masa depan. Itupun kalau mampu berkereta.

9. Etno-landskap Bangi sebelum Melayu-nisasi adalah sebuah ladang estet; hari ini sebuah keluarga cina dengan SUV mewah; induknya seorang wanita tua cina 70-an singgah ke sebuah gerai makan Melayu milik seorang wanita tua yang sebaya dengannya sebagai sebuah eksesais memori masa dahulu menjalankan mono-ekonomi menoreh getah bersama-sama. Saya menemukan kejutan, ini bukan Bangi yang saya pernah tahu.

10. Bangi mulai terpetak di dalam fragmen yang rawak apabila munculnya kelas menengah professional yang baru tiba di sebuah geografi, terbentuk kerana struktur pembangunan; nyah-pusat kedudukan tempat tinggal dan tempat kerja. Hubungan mereka dengan "yang lain", masih lagi relatif, dan situational, politikal. Mungkin ini boleh dinamakan sebagai kosmopolitanisme atas pagar. Mereka secara kolektif sekadar berkongsi sejarah industri ekonomi-kejiranan datang daripada kesedaran komuniti yang berbeza.

11. Semakin rencam dan modeniti yang multiple berjalan serentak. Bangi cuma bertambah lampu trafik di jalan bulatannya.

9/23/2019

Nota malang bulan Ogos


1. Saya menulis, dan juga selfie untuk melawan lupa. Hilang tumpuan dan ingatan selama tujuh hari, kemudian saya berubah menjadi seorang lelaki baran ke hulu ke hilir dengan sebilah kerambit di jalan raya; gasar dan laparkan perkelahian satu lawan satu.


2.

3.  

4.

8/26/2018

Sebuah pop dan cultural cliche


Terjaga jam tiga pagi bermimpikan seekor paus menelan seorang lelaki. Saya tak pasti apa ketakutan bawah sedar saya sewaktu siang hari tadi. Dan ada notifikasi daripada kamu, sebuah foto yang kamu potretkan dari dataran tinggi Rize, seekor kucing sedang lena tidur di bawah pohon dan di hadapan adalah Laut Hitam kebanggaan kamu. Seperti terjaga di aras 30 000 kaki waktu dahulu, ada lampu samar, dengung awan dan kamu ada terlena di sebelah, skrin telefon menyala di tangan saya-- paparan paling akhir adalah bait Hemmingway, it is better to be lucky. But I would rather to be exact. Then when luck comes, you are ready. Ketika itu saya pejamkan mata semula. Hujan renyai menyambut langkah ketibaan dan kita hanya ingin bisu dan cuma akhirkan dengan dua butir perkataan ucapan perpisahan yang lengah dalam gerak perlahan bibir sebelum terburu-buru berbalas senyum kelelahan. Pintu gerabak tertutup dalam masa sepuluh saat.

Dan mengetahui bahawa keduanya saling intoxicated, rasa jelik dan hanya akan pulih selepas dua puluh empat jam.

*fade out visual Tony Leung dan Maggi Cheung berjoget dalam sebuah babak outtake In The Mood For Love*


8/13/2018

Draf bulan Juni


1. Mengulangkaji semula kejantanan mengetuai sebuah keputusan dalam kekalutan terkejar-kejar pertukaran stesen yang berpuluh-puluh-- bersilang-silang dua jam sebelum penerbangan antarabangsa. Kehampaan dalam harapan yang tak terelakkan. Saya cuma tersengih. Begini rupanya perasaan hampir gagal dalam sebuah naratif tanggungjawab.

2. Bukan kali pertama orang bertanyakan kepada saya di balai pelepasan; are you going back to Melbourne too?

3. Dalam layanan idea pada sebuah temporaliti. Menuju pantai, minum kopi dan bercanda. Tetapi temporaliti yang meletakkan batas piawaian tertinggi. Antara garis banal dan sweet disposition. Ini adalah masalah.

4. So, which direction to that cute Starbucks?

5. Ibu kepada rakan, seorang penulis sajak berkata bahawa saya ada seiras seorang penyair zaman dahulu yang agaknya sering mundar-mandir di Central Market, Kuala Lumpur. Dia kemudian bertanyakan nama pena saya. Mungkin kerana segan-segan, saya sengihkan saja.

Nama pena mak cik, Mawar Berduri.

Selamat berkenalan Mawar Berduri, saya balas.

6. Happy ke sekarang? tanya Mawar Berduri. 

7. Dua pihak yang saling menebak dan mempergunakan.

8. I'll make room for growth and of course; for a Ressentiment.

8/08/2018

Menulis nota hari lahir

Pandang saya.

Saya cuma ingin mudah bernafas dan bercakap benar. Dan sedaya upaya tidak akan hilang diri. Dengan sebuah kesedaran yang saya bentuk atas memori. Dengan keinginan melawan lupa dengan mengutip gumpalan-gumpalan data amorous. Ketajaman fikir untuk mengubah diri hidup dan menyusun rasional kerana masih ingin mengalas tugas kenabian.

Barangkali ini adalah tahun yang menarik sebuah angan dan sekaligus kegalauan. Apabila dibangkitkan dengan sebuah rasa dipercayai. Dan hati perasaan yang tiba di rumah baru. Melangkah terpinga dan curiga kerana saya tahu inilah sebuah kesementaraan. Ruang bergulat yang bakal fana dan mampu ditebak hari luputnya. Sejauhmana saya mampu berhati-hati untuk menangganinya ketika ia bakal tamat/sesudah tamat. Eros yang akan bertukar menjadi hantu masa lalu. Ia tak mungkin mudah, tapi cubalah.

Bahawa saya tidak akan kerugian apa-apa. Menjadi muda dan menerjang serta membilas ego-ego orang lain.

Untuk kesekian kali lagi, selamatlah.

8/03/2018

Ingatan kepada orang tua


Usia saya mungkin lebih kurang lima tahun. Banyak mulut dan suka bertanya ingin tahu. Kuat auta.

Pernah sekali saya dan orang tua, kami berdua menyusur hutan bersama cuba nasib kalau terjumpa durian gugur. Saya berpaut di belakang tubuhnya, dan dia menunduk-nunduk membuat tanda dengan ranting setiap kami membelok, pada setiap batang pokok untuk tidak sesat. Kami temukan dua biji durian yang gugur terletak elok antara dua denai. Senja itu kami terkulat-kulat keluar dari belukar menjinjing durian yang hanya sebesar tiga biji tinju.

Tiba dirumah kami tiga beranak bertinggung. Tapi rezeki kami cumalah durian gugur mengkal. Dan kami saling bersengihan.

Mungkin juga sekarang saya terkenang juga entah berapa ringgitlah yang ada dalam poket mereka ketika itu. Keturunan tidak bertanah dusun walau sekangkang, apatah pohon durian walau sebatang.

8/01/2018

August comin' thru



Sewaktu umur 30 tahun kelak, saya berharap untuk dapat membuat roti sourdough yang sedap.




Itupun kalau masih hidup lagi lah.