1. Mengelabui dan tak ingin bersurai adalah perasaan tak percaya diri. Yang menjadi hantu menguis saya supaya terjaga jam tiga pagi dan bersandar untuk perbualan seketika di beranda. Jadi, bagaimana sekarang? saya bertanya berbasa-basi mulakan perbualan.
2.
3. Melihat Vivy Yusof-ness dalam diri seorang barista baru yang buat double shot espresso ceroi macam americano. Maafkan, dan esok datang lagi.
4. Nombor (3) adalah alasan untuk mulakan semula tabiat minum kopi setiap hari dalam dos yang berlebihan.
5. Apabila saya tergesa-gesa pulang untuk menekap dahi orang tua saya dengan tangan saya sendiri dan mengisi perbualan tengah malam itu dengan perbualan bacaan gula dalam darah, pemeriksaan kesihatan tahunan, jurang budaya kelas intra Melayu.
Orang tua saya mengaku kini mereka telah menjadi sahabat. Hari saya hendak pulang ke Kuala Lumpur, di stesen keretapi, saya mengambari mereka. Saya bayangkan gambar itu tak jadi/gelap selepas gulungan filemnya dicuci kelak. Tapi, tak mengapa. Sebelum petikan kali kedua, saya lihat mereka, hela nafas dan menatap ringkas wajah kedua-kedua mereka.
6. Mulakan semula pagi dengan harapan kehidupan, tujuan, dan ingatan kepada kerja-kerja yang tertangguh tanpa keinginan membatalkan diri di penghujung hari. Mungkin ada yang mencari jalan kala dinihari, dalam renungan atau dengan teh hijau, atau pil tidur, atau doa-doa selepas solat , atau kecintaan yang berbalas, atau kebiasaan seperti selalunya, atau ucapan terima kasih atau membaca semula buku-buku yang telah berhabuk dan terlangkup. Dengan bermacam-macam cara, untuk memberikan keadilan kepada diri sendiri. Walau dengan apa cara sekalipun.

No comments:
Post a Comment