7/19/2016

Juli (iii)


1. Dalam dilema untuk makan sesuatu yang bergoreng seperti ikan goreng atau ayam goreng atau samosa atau cempedak goreng-- tetapi saya batalkan hasrat itu kerana ada beberapa biji buah mangga muda di atas meja. Hasrat yang terbatal semudah itu dengan sebuah logik-- bro, tolong kira duit dalam wallet atau ingat baki simpanan dalam bank. Dan lalu, saya bergegas ke dapur, capai pisau dan mula memotong buah tersebut. Di atas pinggan yang lain pula ada kombinasi kicap dan gula. Capai Ipod housemate kemudian pilih lagu yang sesuai sebelum mula makan. (Ladidadida!)

2. Saya ke Seremban untuk beraya ke rumah kawan-kawan, berbual-bual saling bertukar cerita kehidupan, Dan topik terkini sewaktu umur-umur begini, sudah tentu adalah perkahwinan dan kawan-kawan yang sudah beranak satu (atau beranak dua?).

3. Terlalu bujang untuk pergi beraya.

4. "Ekau dah berkojo sok, jangan nak poie perhabih duit boli motokar" tempik seorang nenek berusia 72 tahun, ibu kepada guru sekolah saya. Dia perempuan tua yang tinggal di kampung, sedar pada konsepsi diri dan masih bertenaga memandu kereta serta mengurus kesehariannya. Dan perbualan kami, seperti seorang nenek memberi nasihat kepada seorang cucu, tangan tuanya menadah diselang dengan menyebut beberapa nama Tuhan.

5. Kita melewati sebuah musim yang bercakap tentang keakuran sosial. Tentang makna bahagia yang telah dijajah berulang kali lewat beberapa hal-- kita tahu sendiri. Ada manusia, mereka merasakan tinggi dengan sebuah keakuran. Begitu juga dalam keseharian saya, pada mereka yang memeluk sebuah ketidakakuran yang juga turut sama merasakan tinggi. Akhirnya, pergelutan adalah milik kita, pada keakuran dan ketidakakuran, keduanya adalah sebuah ekstrim yang kita sedar akan mengubah nilai diri, cara pandang dan  cara memberi justifikasi. Lalu makna bahagia yang bagaimana, setelah sebuah penilaian paling kritikal kita miliki-- yang kita berkehendakkan?

6. "Kita" kedengaran seperti tidak adil. Mungkin "saya" lebih sesuai.

7. Pernah sekali, setelah perbualan dengan patah-patah perkataan yang ringkas, saya melihat seorang kawan bangun dari tempat dia duduk bersila, life sucks, dia kata. Saya cuma senyap, cuba mencari kekuatan untuk menidakkan kata-katanya, untuk menenangkan diri walaupun perkataannya benar untuk saya.

8. Dan hidup, diteruskan.




No comments:

Post a Comment