7/20/2015

Trankuiliti



Kematian dalam apa jua hal mengubah cara seseorang menanggapi sesuatu perkara, walaupun telah bertahun ia berlalu. Sambutan lebaran kali ini tidak lagi bersungguh-sungguh. Orang tua saya sekadar bersahaja, tidak pula mempertanyakan hal-hal persiapan. Mungkin juga saya tidak ambil kisah, dan saya pun turut diamkan sahaja. Pagi lebaran itu saya ke masjid mengenakan baju lengan panjang seperti hari-hari biasa sewaktu solat hari Jumaat. Orang kampung berkerut-kerut dahi jadi kaget tatkala saya mulai melangkah ke tangga masjid, saya tundukkan kepala dan balas dengan senyuman.

Jiwa konsumeris bukanlah dibunuh terus. Jujurnya, masih ada satu sisi dalam diri saya yang gemar memaling-malingkan tanda harga pada baju di butik-butik, membayangkan memiliki rak buku Ikea, sofa lembut dan permaidani Pakistan (saya tak pasti sama ada ia normal pada umur-umur begini). Tetapi keinginan cumalah keinginan. Ada hal yang lebih meresahkan saya fikir, misalnya susun atur hidup dalam dua tiga bulan mendatang barangkali memerlukan sedikit simpanan wang. Rancangan-rancangan yang saya cuba elakkan untuk berbual dengan kebanyakan orang.

Petang lebaran saya ke tepi pantai. Mengingatkan diri tentang perbualan dan keizinan Tuhan terhadap harapan masa depan.



No comments:

Post a Comment