7/23/2015
Juli
Bandar Ipoh cumalah sebuah persinggahan. Tempat letaknya kediaman orang tua yang saya ulang pergi dan balik agaknya empat bulan sekali. Sepanjang setiap kali saya pulang, saya akan lakukan semua perkara yang saya fikir perlu. Duduk-duduk di taman bunga yang dikelilingi kuburan cina, makan nasi ganja, pagi hari Ahad ke pasar karat dan malamnya berada di pekan lama Ipoh sekadar melihat-lihat bangunan suram sepi. Dan hampir lewat malam selalunya saya akan ke restoran mamak berdekatan dengan rumah. Saya akan duduk di kerusi meja yang sama, pesan minuman yang sama. Ajaibnya, pekerja restoran mamak itu akan datang kepada saya sambil tersenyum. Teh o panas, katanya menebak minuman yang saya ingin pesan. Saya angguk, empat bulan sekali, kata saya dalam hati, hanya empat bulan sekali saya kesini.
Mungkin saya selesa menulis di situ. Suasana hingar, perbualan berdesing-desing orang sekeliling dan kadang kala tawa pecah perut mereka-mereka yang saya tidak kenali. Barangkali, inilah medan saya melatih kebijakan emosi. Sonder. Bahawa setiap orang, mereka-mereka yang saya tidak kenali ini pasti ada yang sedang riang hatinya, dan dalam kalangan mereka ada juga yang mengeluh setelah melalui hari yang panjang.
Walaupun setiap empat bulan sekali saya berada disitu, saya boleh agak wajah yang sama akan masuk ke dalam restoran dan memesan makanan setiap malam. Misalnya, seorang lelaki keturunan cina dan anak lelakinya yang penghidap penyakit sindrom down. Melihat dari fizikal umurnya anaknya lebih kurang sebaya dengan saya. Cuma anaknya, dijadikan oleh Tuhan lebih istimewa. Mungkin kebetulan malam itu, seorang ibu muda menjinjing anak perempuannya masih lagi bayi juga penghidap sindrom yang sama ke dalam restoran. Dikucup-kucupnya dahi anak perempuan itu. Dan saya masih lagi memerhati satu peristiwa besar tatkala dua orang ibu bapa ini saling bertukar pandangan mata. Gestur tubuh seakan-akan bahawa mereka telah mempersetujui seperkara hal bersama -- yes, we both gonna love unconditionally, to satisfy and become the lover that never sighs.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment