1/10/2015

Nota dinihari


Saya kira lima hari tanpa perbualan sebenar adalah satu pencapaian. Cuma melainkan ketika saya sudah jemu bersendiri dan mengangankan sebuah perbualan, yang ada cuma lelaki berumur tigapuluhan dan separa waras di meja makan sebelah. Kadang-kadang dia bermenung, dan sebentar kemudian dia bermain dengan suis lampu. Kerana bukanlah terdesak sangat, saya fikir untuk sebuah perbualan, saya boleh tunggu.

Hari minggu, seharian saya terlantar diatas katil. Sedikit-sedikit menyudahkan bacaan yang tertangguh sejak tahun lepas. Cuma apabila mula berdiri, saya mengigil. Menjadi geram tidak tentu hala, tidak tahu hendak marahkan siapa. Tahun baru pada saya barangkali adalah cuma proses meningkat umur dengan lebih banyak ketidakpastian. Perlahan-lahan segala jangkaan hidup pada umur awal dua puluhan saya rendahkan. Kehidupan dengan duit pinjaman dan pemberian orang tua malah buatkan saya rasa lebih kecil--tidak layak untuk segala apa-apa. Visi kehidupan dan akademik semakin luntur, semakin tidak berhala tuju. Semakin banyak isme-isme, buku-buku yang ditelaah semakin ia tidak dapat menjelaskan apa-apa. Mungkin kenyataannya, lebih mudah kalau saya menyerah dan mengaku sahaja bahawa saya tidak cukup cerdas untuk berbahas hal-hal ilmiah.

I have nothing to offer. Setiap kali jalan fikir ini muncul, saya cuma membayangkan bagaimana moden sentiasa menawarkan sebuah pelarian. Kemudian melayang lagi fikiran saya membawa kepada pintu balai pelepasan.

Seperti kata Jon Krakauer, some people feel like they don't deserve love. They walk away quietly into empty spaces, trying to close the gaps of the past.

Mungkin melarikan diri adalah perkara mudah, hitung baki wang simpanan yang hampir kering dan tempah sahaja tiket penerbangan tambang murah. Tetapi ianya tidak menyelesaikan. Tidak pernah.

Dah lewat, kejutkan saya subuh nanti.

1 comment:

  1. Perbualan sebenar saya adalah dengan diri saya sendiri yang kadang-kala tidak duduk dalam tubuh saya. Mana dia? Ada nampak?

    P/s : Dah boleh baca blog! TQ!

    ReplyDelete