6/28/2017

Salam Aidilfitri


Ada sesuatu yang tidak kena pada tubuh saya. Saya mulai tarik nafas dan kemas rumah, masukkan baju persalinan ke dalam backpack. Pilih buku yang saya hendak baca serta dapatkan pen dan buku nota. Usung backpack naik motosikal, dan parking apabila sudah sampai. Beli buah epal potong dan sebotol air mineral. Sambil mengunyah, berjalan kaki ke unit kecemasan. Saya duduk, empat orang doktor menghadiri saya sekaligus. Ada jarum panjang, doktor sedang marah-marah dan uniform hijau.

Ada houseman, seorang perempuan muda yang kaget melihat saya. Mungkin melihat saya terlalu bersendiri. Di birai katil, ada pada fikiran saya, siapa lagi yang boleh diharapkan melainkan diri sendiri? Kami sambung berbual, melihat watak periangnya mungkin ini adalah normal sebelum tahun ketiga atau keempat berubah menjadi dingin dan kelak mengambil sampel darah dengan buru-buru dan kasar.

Apa lagi selain menanggapi fikiran-fikiran mati muda, harapan untuk sihat kembali dan sekian janji yang berulang kali kepada Tuhan. Di luar tingkap, langit biru membentang cahaya antara Putrajaya dan Serdang. Ada rimbunan pohon-pohon besar berbentuk seakan brokoli yang kelihatan sedap.


1 comment:

  1. selamat hari raya nazrin, apa sahaja sakit moga cepat sembuh.

    ReplyDelete