12/30/2016

Menulis nota akhir tahun


Berhenti menulis pada jurnal harian adalah suatu kesilapan besar sejak beberapa bulan kebelakangan. Segala hal meredam sendiri. Suara lelah dan kesedihan yang sunyi, jantung dengan degup buru-buru tidak ingin istirahat. Ada angin dingin berterusan meniup pada bulan Disember, langit berupa awan kelam sehingga senja, malam separa berkabus dan kenderaan mengekor laju di jalan yang basah-- hawa hanyir yang menuntut sebuah ingatan.

Dan saya belajar untuk tidak memandang rendah kesedihan dan kemarahan. Tatkala tubuh tidak terdaya menanggungnya lagi, ianya mulai khianat-- lalu tiada berdaya untuk apa-apa. Yang tinggal kemudian adalah penyerahan yang dicuba sepenuh hati, menilai semula sekelian niat di atas jalan Tuhan-- hal yang terus-terus sering diperadukan.

Benarkanlah tubuh mereda, jadilah sebahagian daripada basa basi demikian kalaulah itu barangkali sebuah hikmah. Berlapang dada lah dengan pengetahuan tentang seluruh alam yang belum dimiliki. Berhentilah membilang lawan.

***

Seperti kata orang, kita mencari rubaiyat di negeri jauh, tetapi rupanya yang paling indah; ada di rumah sendiri.

Yang paling indah ada di rumah sendiri.

***

Terima kasih Tuhan atas segala pengujian, orang tua yang memahami syukur dan juga kawan-kawan sebagai ingatan yang menghidupkan. Kurniakanlah kekuatan menemukan jalan bagi kesementaraan ini.

2 comments:

  1. Part pertama tu menyentuh hati. Baca sampai habis terus sebak dan sesak. InsyaAllah, moga terusan kuat untuk hidup. 2016 adalah badass year haha. 2017 aku nak bangkit.

    ReplyDelete