5/04/2015

5515


Kau terjaga awal, mata yang kau tahu tidak mungkin mahu lelap lagi.

Dan pagi ini kau tak ingin berlari. Kau tidak tagihkan keringat yang berderai-derai membasahkan tubuh seperti hari-hari semalam. Kau bermalasan, cuba mengalih diri dari tempat pembaringan, menolak-nolak bungkusan beg tidur sekadar terlihat kemas. Kau betulkan duduk pada birai katil dan mencari semula buku yang kau baca malam semalam sebelum hanyut ke alam lelap. Di atas meja ada cawan teh sudah tiga hari usianya, dan sebuah buku jurnal yang sudah berminggu kau keluarkan dari beg. Sebuah buku tulisan yang selalunya kau akan bawa kemana sahaja, menjaganya seperti nyawa kerana khuatir hal-hal pemikiranmu dibaca orang. Suatu hari pada minggu-minggu yang lalu, kau putuskan mahu tinggalkan buku itu di atas meja di dalam kekelaman bilik, sekadar membiarkan ia dilimpah dengan sinaran lampu belajar; walaupun kadang-kadang kau lemparkan sekilas pandang setiap kali usai pulang dari kuliah; sebuah kenyataan(atau tuntutan?) bahawa kau ingin menulis sesuatu, tapi kau tak ingin. Buku itu akur bahawa ia sekadar sebuah ciptaan tanpa nyawa; tidak melolong atau bersuara. Tetapi di dalamnya, penuh baris-baris suara yang membebankan kepala yang pernah kau turunkan dengan penuh gigil dan buru-buru. Dan suara-suara itulah yang sayup-sayup meminta engkau menyambung dari halaman tidak lengkap dengan tarikh dan renteten perkara yang baru terlintas di dalam benak kepalamu. Bukan lagi seperti halaman terakhir yang hanya sempat kau catitkan tarikh dan biarkan ia kosong dan kali terakhir itu hanya mengingatkan kau bahawa halaman itu terbiar dengan sebuah hembusan hela nafas yang sarat dan panjang. Yang sebenarnya, kau ingin tulis sesuatu, tapi kau tahu pada akhir nanti cuma berhasil adalah sebuah halaman penuh tentang hal-hal pengulangan. Tetapi, naluri kau pagi ini cuma menuntut seperkara, supaya mengembalikan semula buku tulisan itu kedalam kantung beg dan usung ia semula kemana-kemana. Selain itu, kau tak ingin apa-apa.

No comments:

Post a Comment