1/03/2015

Nota diantara akhir Disember dan Januari


Terima kasih Tuhan untuk keluarga yang tidak berantakan, malah kami saling memerlukan.


Tahun 2014 adalah tahun saya dipaksakan untuk mengkhuatirkan tentang perkara-perkara hati dan soal-soalnya tentang sesuatu yang belum tahu. Pengejaran cita-cita dunia yang ada asalnya bergelantungan pada dahi, merebah satu persatu. Terlalu banyak yang diinginkan, hanya sedikit sahaja yang termampu untuk dikerjakan. Barangkali, kerana sudah tidak ada kesungguhan untuk hidup lama. Atau, seperti yang pernah saya katakan dahulu, adakah segala tujuan tidak mampu dipenuhi demikian hari menjadi pendek kerana dosa-dosa lalu?


Hujan akhir Disember keras sekali. Jarang berhenti lama, sentiasa dingin dan tiba-tiba turun kembali. Dan pekerjaan saya setiap kali adalah mengharung hujan ribut di jalan raya. Cuma termampu untuk senyum sahaja tatkala diberhentikan lampu trafik, dengan baju dan seluar yang lencun dan melihat ke dalam tingkap kaca kenderaan yang berhenti di sebelah sehingga seolah-olah boleh melihat pemandunya sedang tersengih. Dipukul lopak air oleh kenderaan arah bertentangan, keadaan jalan dengan lubang-lubang. Kerana setiapkali, fikir saya boleh jadi, hari itu nyawa saya tidak panjang. Dan setiapkali itu juga, saya terkenangkan perbualan-bualan meningkatkan iman dengan teman-teman dan malah pemandu lori yang baru saya kenal tempoh hari. Tentang bagaimana kadang-kala kita angkuh pada Tuhan. Marah dengan perkara-perkara yang tidak diberi untuk dimiliki.


Sejak akhir-akhir ini, saya jadi takut berdoa meminta-minta pada Tuhan. Bagaimana kalau nanti, diberi satu perkara dan diambil seperkara dua yang lain? Maka fikir saya, cukuplah saya mendoakan orang tua. Kerana saya tahu, bonda akan mendoakan saya. Sama ada tatkala mengharung ribut atau kehidupan ini supaya sentiasa selamat dan peroleh ketenangan. Tuhan, makbulkan doa bonda. Tempoh hari perbualan dengan bonda ada saya catitkan di jurnal. Tentang pekerjaan nenda di dunia ini barangkali adalah untuk mendoakan anak-anak sehingga akhir hayatnya. Dan bonda, dia mahu jadi seperti nenda. Kemudian, ada satu senyap yang panjang sebelum saya mengambil nafas semula. Oh,Tuhan.


No comments:

Post a Comment